Berita Terkini

Berita Terkini dari team ePeladang.

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, sempat berselfie ketika hadir pada Program "PeladangNita dan Ahmad Shabery" yang diadakan di Dewan Tan Sri Abu Zahar, Menara LPP, hari ini. - UTUSAN ONLINE/MD. SHAHJEHAN MAAMIN

 

KUALA LUMPUR 25 April - Peranan wanita sebagai penggerak ekonomi negara sememangnya tidak boleh dipertikai.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, ketika dalam program sesi bertemu usahawanita berkata, oleh demikian, kerajaan telah merangka pelbagai aktiviti dan program dalam memperkasakan peranan wanita dalam pelbagai sektor termasuklah keusahawanan dan pertanian.

 

Beliau berkata demikian dalam program yang bertemakan Peladangnita dan Ahmad Shabery yang dihadiri kira- kira 600 orang usahawanita dalam kalangan peladang di seluruh negara .

Sementara itu, sebanyak 1,610 wanita telah terlibat dalam bidang keusahawanan melalui program di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang dan Jabatan serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun ini. - UTUSAN ONLINE

 


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/wanita-penggerak-ekonomi-negara-1.657070#ixzz5Dq0PlftS 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Usahawan wanita wajar lihat pasaran China

Ahmad Shabery Cheek (tengah) bersama peserta program Bertemu Usahawanita bertemakan Peladangnita dan Ahmad Shabery anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Dewan Tan Sri Abu Zahar, Menara LPP, Kuala Lumpur, semalam.utusan / MD. SHAHJEHAN MAAMIN

 

KUALA LUMPUR 24 April - Golongan wanita yang terlibat dalam keusahawanan dan perladangan diseru bijak mengambil peluang untuk menceburi bidang berpotensi tinggi termasuk perusahaan durian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini kerana dijangkakan sumber kekayaan baharu itu akan terus mendapat sambutan menggalakkan pada masa akan datang selepas diterima baik di pasaran China.

 

Katanya, penglibatan tersebut bukan sahaja terhad kepada penanaman durian semata-mata sebaliknya melibatkan aspek pemprosesan, sejuk beku, logistik, pembungkusan dan produk hiliran berasaskan buah berkenaan.

“Ini adalah antara perusahaan (durian) yang mempunyai potensi luas kerana ketika ini, kita melihat pasaran China sa­ngat besar. Oleh itu, kita boleh beri nasihat dan penerangan kepada golo­ngan wanita, ini adalah masa hadapan (perusahaan durian),” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Bertemu Usahawanita bertemakan Peladangnita dan Ahmad Shabery anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang dihadiri kira-kira 600 usahawan dan peladang wanita dari seluruh negara di Dewan Tan Sri Abu Zahar, Menara LPP, di sini hari ini.

Penganjuran program tersebut selaras dengan Tahun Memperkasakan Wanita 2018 yang mengetengahkan peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara.

Sementara itu, Ahmad Shabery juga turut memuji penyertaan wanita dalam dunia perniagaan dan keusahawanan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara yang sememangnya kini tidak boleh dipertikaikan.

Dalam program itu juga, Ahmad Shabery turut menyampaikan bantuan Tabung Pembangunan Usahawan Peladang (TPUP) dan Change Upgrade Product (CUP) 2018 kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di enam buah negeri.

PPK masing-masing yang menerima bantuan TPUP adalah Bera, Temerloh (RM 50,000); Langkap, Kuala Kurau (RM 132,000); Batu Pahat Tengah dan Pontian Selatan (RM90,000) serta Kijal (RM50,000).

Sementara itu, bantuan CUP pula diberikan kepada PPK Pendang Selatan (RM39,900) dan PPK Lahar Bubu (RM74,900).

 



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/perusahaan-durian-berpotensi-tinggi-1.657450#ixzz5Dpyzs2v6 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) yang bakal diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, pada 22 November hingga 2 Disember depan adalah platform untuk memperkasakan usahawan wanita selain menonjolkan golongan berkenaan dalam industri agromakanan negara.

Acara dua tahun sekali anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mengekalkan tema 'Makanan Kita, Masa Depan Kita.'

Bagaimanapun kali ini, ia akan menampilkan pembaharuan dengan konsep wanita dan membawa slogan 'Segalanya Wanita.'

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bagi merealisasikan konsep ini, MAHA 2018 menyasarkan pembabitan 50 peratus golongan wanita dan akan turut menonjolkan beberapa orang ikon usahawan wanita sebagai inspirasi.

 
 

"Selain itu, Dewan A MAEPS Serdang yang berkeluasan 40,000 kaki persegi turut direncanakan untuk aktiviti, pameran dan jualan produk yang berkaitan dengan segenap dimensi kehidupan wanita.

"MOA menetapkan sasaran jualan sebanyak RM500 juta dan lebih daripada 3.5 juta pengunjung akan mengunjungi MAHA 2018 selain 30 peratus pembabitan golongan belia.

"Acara ini akan memaparkan pengisian dalam pelbagai aspek agromakanan termasuk tanaman, ternakan, perikanan, teknologi, pelancongan agro, perdagangan, kulinari dan pembiayaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pra pelancaran MAHA 2018 di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Nogeh Anak Gumbek.

 

Ahmad Shabery berkata, antara tarikan MAHA adalah jualan bahan pertanian dan makanan seperti juadah popular dari seluruh negeri, produk industri asas tani (IAT), buah-buahan, sayuran segar, anak pokok, bunga-bungaan serta ikan dan makanan laut segar.

"Sebanyak 13 pavilion negeri akan dibuka di mana ia akan menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan juadah makanan negeri yang boleh dinikmati pengunjung.

"Seperti MAHA yang lalu, semua laman seperti laman perikanan, laman nanas, laman ternakan dan sebagainya akan turut membuat penampilan semula bagi pengunjung menikmati sendiri pengalaman pertanian secara "hands-on".

"Tempahan untuk gerai jualan telah dibuka dan hingga kini, 30 peratus daripada 1,500 gerai jualan yang ditawarkan dilanggani," katanya.

Menurutnya, MAHA 2018 berjaya mendapat sokongan 11 penaja dan rakan strategik antaranya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Agrobank dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

"MAHA 2016 lalu, ia menempa kejayaan yang membanggakan dengan jumlah pengunjung melebihi 3.7 juta orang serta perjanjian jualan melebihi RM400 juta," katanya.

 
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 11:04 AM
Mohamad Hussin
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

SEORANG pengusaha rumpai laut Isnoman Salbiru menuai rumpai laut di Kampung Look Butun, Semporna.

Sejarah rumpai laut di negara ini bermula sejak 1978 di Pulau Karindingan di Semporna namun hanya sekitar 1989 rumpai laut spesies Kappaphycus alvarezii mula di komersialkan di Sabah selepas Filipina pada 1973 dan Indonesia pada 1986.

Kini perairan daerah Semporna, Kunak dan Lahad Datu dikenali sebagai estet rumpai laut kerana kesesuaian perairannya yang berada dalam lingkungan Segitiga Batu Karang sempadan tiga negara iaitu Filipina, Indonesia dan Brunei.

Tidak ketinggalan, Malaysia merupakan antara penyumbang kepada pengeluaran rumpai laut merah spesies Kappaphycus sp. dan Eucheuma sp. yang menghasilkan 20,000 tan metrik rumpai laut kering bernilai RM60 juta pada 2010 yang diusahakan di kawasan seluas 9,000 hektar serta memberi manfaat kepada 1,200 pengusaha di Pantai Timur Sabah.

Walau bagaimanapun, perusahaan tersebut dijalankan secara tradisional yang menyebabkan produktiviti dan kualiti yang rendah serta terlalu bergantung kepada tenaga buruh yang ramai.

Justeru Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Perikanan memperkenalkan teknologi dan kaedah terkini berkonsepkan mini estet di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dilihat mampu meningkatkan pengeluaran rumpai laut negara secara drastik.

Melalui program tersebut, pengeluaran rumpai laut akan meningkat kepada 150,000 tan metrik (berat kering) menjelang 2020.

Jika dilihat pada 2012, pengeluaran rumpai laut dunia mengalami kekurangan antara 100,000 hingga 150,000 tan metrik setahun walaupun mendapat bekalan dari Indonesia dan Filipina.

Kekurangan tersebut pastinya boleh diisi oleh pasaran Malaysia melalui sistem mini estet yang diperkenalkan yang bukan sahaja meningkatkan produktiviti malah turut meningkatkan kualiti, pengurusan bersepadu serta meningkatkan pendapatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika merasmikan Program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2018: Seaweed Splash di Semporna baru-baru ini meminta masyarakat tidak memandang kecil golongan nelayan yang bertarung nyawa di lautan demi memberi nikmat kehidupan kepada rakyat di negara ini.

Rumpai laut umpama satu keajaiban alam semula jadi kerana mengandungi pelbagai khasiat dan kandungan mineralnya yang tinggi iaitu kalsium, lignans serta berkesan membantu penurunan berat badan.

“Salah satu khasiatnya iodin yang membantu meningkatkan perjalanan kelenjar tiriod bagi membantu meningkatkan metabolisme iaitu pembakaran dalam badan.

“Inilah kelebihan laut di Semporna yang tenang serta menerima pancaran matahari yang mencukupi bagi membolehkan tanaman rumpai laut dilakukan di sini sekali gus meningkatkan profil kawasan tersebut sebagai tarikan pelancongan dan menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

Pada 2016, kira-kira 206,000 tan metrik rumpai laut (berat basah) bernilai RM44 juta dihasilkan dan perusahaan tersebut menjadi sumber pendapatan kepada hampir 1,200 pengusaha di kawasan pengkulturan rumpai laut di perairan negeri Sabah seperti di Semporna, Kunak, Tawau dan Lahad Datu.

Malah, Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan kawasan persisiran pantainya seluas 38,000 hektar (ha) keseluruhannya dan 28,000 hektar untuk tujuan menternak rumpai laut di Semporna.

“Kerana itu, saya sering ingatkan kawan-kawan di kementerian tentang ternakan rumpai laut yang memiliki nilai besar dan bagaimana untuk manfaatkannya.

“Ia boleh menjadi ‘emas’ untuk negara sebab itu kita mahu sentiasa berkempen tentang kebaikan rumpai laut sebagai produk pelancongan negara seperti bagaimana untuk memasaknya, bagaimana ia boleh dihasilkan produk hiliran dan sektor kecantikan supaya membantu meningkatkan harga rumpai laut di pasaran,” ujarnya.

Dalam usaha memastikan negara mampu memenuhi permintaan yang tinggi pada setiap tahun, kementerian meluluskan peruntukkan berjumlah RM500,000 bagi membina sebuah pusat komersial rumpai laut pada tahun ini.

Menurut Ahmad Shabery, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semporna akan bekerjasama dengan pemimpin setempat untuk memilih lokasi yang sesuai bagi memudahkan pembinaan kemudahan itu.

“Kita akan mencari apa sahaja cara untuk membantu pengusaha rumpai laut bagi kawasan Semporna meningkatkan hasil jualan kerana harganya pada ketika ini tidak menentu dan kebanyakan pengusaha bergantung kepada satu pembeli sahaja.

“Dengan adanya kemudahan tempat pengumpulan, memproses dan pakej rumpai laut itu nanti, pengusaha di daerah ini sendiri akan menentukan pembeli mereka dengan kadar harga lebih berpatutan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, di bawah Dasar Agromakanan Negara, rumpai laut telah dikenal pasti sebagai salah satu komoditi bernilai tinggi yang diberi tumpuan untuk menyumbang kepada pengeluaran ikan dan eksport negara.

Sebanyak 10 syarikat iaitu masing-masing lapan di Semporna dan dua di Kunak dilantik di bawah projek mini estet manakala enam kluster iaitu masing-masing lima di Semporna dan satu di Tawau diwujudkan bagi menggabungkan pengusaha kecil sedia ada secara berkelompok.

Program tersebut berjaya meningkatkan pendapatan pengusaha melebihi RM1,500 sebulan, melepasi tahap kemiskinan.

Seiring dengan pembangunan huluan rumpai laut, pelbagai program penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut dijalankan dengan kerjasama institut pengajian tinggi seperti

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan agensi lain seperti SIRIM Berhad (SIRIM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menghasilkan nilai tambah kepada hasil rumpai laut.

Antara penyelidikan yang dijalankan oleh MARDI membuktikan bahawa rumpai laut Semporna adalah yang terbaik kerana mengandungi kandungan gel karagenan yang paling berkualiti.

Sementara itu Jabatan Perikanan dengan kerjasama SIRIM dan Jabatan Standard Malaysia turut mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Amalan Baik Ternakan Rumpai Laut dan sehingga kini, lebih 50 ladang projek Kluster Look Buton, Semporna berjaya mendapat pensijilan MyGAP.

Program yang dijalankan itu sebagai usaha kerajaan dalam mentransformasi golongan sasar untuk lebih berdaya saing, berpengetahuan dan medium terbaik dalam menyampaikan feel good factor kepada masyarakat serta secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dan mewujudkan suasana mesra antara golongan sasar dengan kerajaan.

Kelebihan rumpai laut

Tidak dapat dinafikan lagi kelebihan tumbuhan alga lautan atau lebih dikenali sebagai rumpai laut yang terdiri dari beberapa kelompok seperti alga merah, alga hijau dan alga perang amat penting dalam industri makanan dan farmaseutikal.

Namun dalam masa sama rumpai laut yang bersifat makroskop, multisel dan makrotalik turut dilihat sebagai super food kerana kaya dengan pelbagai khasiat semula jadi seperti komposisi kimianya begitu dekat dengan plasma darah manusia, sekali gus sesuai dijadikan bahan makanan yang sangat baik dalam mengatur dan membersihkan darah.

Menurut Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi, rumpai laut mengandungi 10 kali ganda kalsium daripada susu kerana khasiat kandungan mineral yang tinggi dari laut.

“Selain itu, rumpai laut turut mempunyai kandungan lignans iaitu bahan kimia semula jadi sebagai antioksidan yang tinggi digunakan bagi membolehkan kulit seseorang sentiasa nampak muda. Kecantikan tersebut boleh dilihat pada kebanyakan orang Sabah yang memiliki kulit muda dan cantik serta mempunyai kelebihan anti kanser.

“Ia juga turut kaya dengan klorofil yang bertindak sebagai detox bagi memastikan proses penghadam secara baik yang sekali gus membantu mengurangkan berat badan kerana kandungan iodine yang tinggi boleh merangsang kelenjar tiriod untuk mengekalkan metabolisme badan,” katanya ketika Program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2018: Seaweed Splash di Semporna, Sabah.

Selain itu, tambah Munir, melalui hasil kekayaan laut itu juga membantu seseorang untuk mengalkalikan darah kerana ia boleh meneutralkan kesan-kesan asid yang lebih tinggi terkandung dalam diet harian.

“Antara kandungan nutrien di dalam makanan ini ialah natrium, kalium, protein, kalsium, ferum, zink, mangan, kuprum, iodin dan pelbagai jenis vitamin iaitu A, B1 (tiamin), B2 (riboflavin), B3 (niasin), B5 (asid pantenik), B6 (kobalamin), B8 (biotin), C, E dan asid folik,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, tumbuhan alga itu juga menawarkan perlindungan kepada tubuh badan manusia daripada pelbagai toksink dalam sekitar, termasuk logam berat, bahan cemar dan produk sampingan radiasi dengan menukarnya kepada garam yang tidak berbahaya yang dapat dinyahcerna daripada tubuh.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk M. Saedon Ab. Majid berkata, GNN merupakan program bagi meraikan dan mengiktiraf para nelayan di seluruh negara.

“Pada masa yang sama GNN juga bertujuan meningkatkan lagi profil Semporna sebagai tarikan pelancongan dan menarik lebih ramai pengunjung.

“Ini merupakan permulaan) bagi menandakan bermulanya gelombang GNN di seluruh negara pada tahun ini,” katanya.

Sistem mini estet tambah pendapatan

Menyedari potensi rumpai laut untuk dikomersialkan sama ada untuk pasaran tempatan atau luar negara, kerajaan memperkenalkan sistem mini estet untuk memanfaatkan sumber rumpai laut yang terdapat di perairan Semporna, Sabah.

Mini estet itu merupakan projek transformasi kerajaan di bawah Program projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam mencari sumber-sumber yang boleh dikomersialkan dan menambah pendapatan rakyat serta negara.

Mini estet merupakan satu model yang mengambil kira semua faktor di peringkat huluan antaranya transformasi pengurusan menyeluruh, berasaskan sains dan teknologi serta mekanisasi, mengurangkan kebergantungan tenaga buruh dengan 80 peratus pekerja di pelantar dan 20 peratus di laut, pengurusan kawasan yang lebih cekap, mesra alam dan lestari. Dalam masa sama ia mampu mengangkat rumpai laut sebagai satu komoditi baharu dengan pendekatan komersial berasaskan komuniti dan menghasilkan rumpai laut bermutu.

Menurut Pengerusi Kluster di perkampungan itu, Manan Indanan, Jabatan Perikanan Malaysia mewujudkan sistem kluster pada 2015 bagi membantu nelayan memperoleh hasil rumpai laut yang lebih banyak serta berkualiti.

Malah melalui program tersebut amat baik bagi mengelak daripada sebarang bahaya seperti ombak deras dan panas terik matahari apabila sistem pengurusan membolehkan 80 peratus bekerja di pelantar selain sistem pengurusan itu lebih mesra dengan berkonsepkan penjimatan dari segi masa, ruang dan memperkenalkan pelampung berwarna jingga.

Katanya, di perkampungan Look Butun sahaja terdapat 70 peserta yang diberi bantuan percuma seperti tali, pelampung, benih, dua bot kecil dan dua bot besar bagi membolehkan operasi menghasilkan rumpai laut dapat dijalankan dengan baik.

“Setiap isi rumah akan menerima kawasan sebesar lima ekar untuk menanam rumpai laut. Kawasan seluas itu membolehkan nelayan mendapat hasil sebanyak 10 tan sekali tuai untuk rumpai laut basah.

“Kira-kira 70 peratus daripada jumlah itu akan susut selepas dijemur untuk mendapatkan rumpai laut kering,” katanya.

Tambah Manan, peserta kluster turut diberi bimbingan menerusi seminar, kursus cara penanaman yang baik dan terkini, cara menjual hasil tanaman serta proses rumpai laut untuk dijadikan produk hiliran.

“Saya berharap selepas ini, nelayan di sini bukan sahaja menternak rumpai laut sebaliknya diberi kelebihan untuk menghasilkan produk sendiri dan dapat dijual di pasaran.

“Menerusi cara ini, pendapatan nelayan akan meningkat selain membantu kerajaan dalam mengkomersialkan produk rumpai laut,” ujarnya.

Sejak diperkenal sistem mini estet dan kluster, nelayan di Look Butun mampu tersenyum apabila pendapatan mereka meningkat apabila rumpai laut yang dihasilkan lebih baik berbanding kaedah tradisional sebelum ini.

Seorang pengusaha rumpai laut, Karimah Barak, 44 memberitahu pendapatannya meningkat daripada RM600 kepada RM1,500 sebulan selepas menyertai kluster dalam menjalankan teknik ternakan rumpai laut seperti yang disyorkan kerajaan.

“Tidak sukar menternak rumpai laut kerana boleh dituai dalam masa 45 hari.

“Keadaan laut yang tenang tanpa gelora besar serta pencahayaan matahari yang baik membantu rumpai laut tumbuh secara sihat,” ujarnya.

Dia yang mula berjinak-jinak dalam penternakan rumpai laut sejak 2011, memperoleh hasil yang lebih baik selepas menternak secara mini estet.

“Bayangkan berapa banyak hasil boleh diperoleh dengan sebanyak 20 tali dan setiap tali panjangnya 100 meter.

“Saya bersyukur kerana kerajaan tidak putus-putus menghulurkan bantuan kepada kami untuk meningkatkan pengeluaran rumpai laut ,” katanya.

Dia yang memilih untuk mengusahakan rumpai laut apabila menyedari tiada kos modal diperlukan kerana benih diambil daripada rumpai laut yang ditanam di perairan laut. Sementara itu, seorang lagi pengusaha rumpai laut, Isnoman Salbiru, 44 berharap kerajaan membantu nelayan untuk mengatasi ‘musim rosak’ rumpai laut pada setiap Julai.

Pada ketika itu, rumpai laut akan diserang ais-ais yang menyebabkan hasil rumpai laut berkurangan.

“Saya berharap ada alternatif lain bagi penternak memastikan rumpai laut yang ditanam tidak diserang ais-ais.

“Saya juga berharap kerajaan menambah bilangan bot kerana jumlah yang ada sekarang perlu digunakan secara bergilir-gilir. Dia yang memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan hasil menternak rumpai laut berterima kasih kepada kerajaan yang memperkenalkan sistem mini estet yang dilihat lebih bersepadu dan memberi manfaat yang berpanjangan.





Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/sains/rumpai-laut-lubuk-emas-1.647319#ixzz5Cth0S1lI 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

Page 1 of 12

Kategori Acara

  • Acara Umum
    Acara Umum

    Acara Umum

    2 Events
  • Aktiviti
    Aktiviti

    Aktiviti

    0 Events

Iklan Terkini

Tongkat Ali Jaga
( / Industri Asas Tani)

Tongkat Ali Jaga
04-23-2018

Kopi Susu Kambing
( / Industri Asas Tani)

Kopi Susu Kambing
04-23-2018

Putu Kacang
( / Industri Asas Tani)

Putu Kacang
04-23-2018