HPPNK 2017

Produk penanaman bandar konsep modular

Oleh Mohamad Hussin

Peningkatan kos sara hidup warga kota terutama perbelanjaan makanan mencetuskan idea aktiviti penanaman dalam bandar berikutan kebanyakan kawasan penanaman sayur di negara ini hanya terdapat di kawasan luar bandar.

Ini menjadikan harga bagi komoditi itu meningkat disebabkan kos sampingan seperti penghantaran dan penanaman.
Sehubungan itu, seorang pelajar Ijazah Reka Bentuk Perindustrian daripada Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad Zulkarnain Rosli menghasilkan produk i-Akuaponik.

Beliau berkata, i-Akuaponik adalah produk yang berkonsepkan modular dan dapat digunakan warga kota tanpa mengira saiz ruang rumah dan keupayaan ekonomi mereka.

“Produk ini boleh dilaraskan mengikut jumlah kuantiti tumbuhan yang perlu ditanam. Bagi ruang rumah yang terhad, i-Akuaponik boleh beroperasi secara minimum dengan empat bekas penanaman dan ia boleh ditambah sehingga maksimum kepada 12 bekas penanaman.

“Pelarasan saiz bagi kuantiti penanaman i-Akuaponik ini hanya dilakukan dengan penambahan bekas penanaman dan ketinggian produk ini.
“Melalui konsep modular, produk ini dapat dipasarkan secara mudah dalam satu pakej pembungkusan,” katanya.

Katanya, ia adalah tawaran terbaru yang dicetuskan melalui produk ini dan tiada kos pemasangan atau penghantaran untuk memiliki produk penanaman bandar ini.

“Pengguna dapat memiliki dengan mudah di pasaran dan memasang­nya sendiri. Justeru itu, pemasaran bagi produk dapat dilakukan dengan lebih efektif.

“Keistimewaan i-Akuaponik ialah menawarkan keberkesanan dari segi perawatan air manakala rekaan yang menampilkan sudut darjah yang tertentu bagi bekas penanaman bertujuan untuk memerangkap sisa buangan ikan dan membekalkan kepada tumbuhan dengan lebih berkesan.

“Ia dapat menghasilkan air yang lebih bersih kepada kolam takungan ikan dan baja yang mencukupi bagi tumbuhan. Ini membolehkan operasi kitaran air oleh pam air dapat diminimakan disebabkan bekas penanaman dapat menakung sejumlah air dan sisa buangan ikan,” katanya.

Menurutnya, antara tumbuhan yang boleh ditanam dengan menggunakan produk ini adalah seperti salad, kubis, tomato, bawang, timun, bok choi, semua tumbuhan berasaskan herba dan banyak lagi tumbuhan hijau yang sering menjadi hidangan harian.

“Hidupan air tawar seperti ikan keli, koi dan puyu boleh digunakan. Namun begitu, melalui kajian yang dilakukan, ikan talapia adalah jenis ikan yang amat dicadangkan bagi cara penanaman akuaponik.

“Kesemua tumbuhan dan ikan ini adalah sedia untuk dimakan setelah ianya mencapai tempoh untuk dituai. Melalui kajian yang dilakukan, cara penanaman menggunakan kaedah akuaponik memberi banyak kelebihan jika dibandingkan dengan kaedah penanaman bandar yang lain.

“Akuaponik adalah kaedah penanaman yang mengaplikasikan kitaran hidupan antara ikan dan tumbuhan melalui air sebagai medium tanpa menggunakan tanah,” katanya.

Beliau berkata, ia dapat memudahkan aktiviti penanaman sayur dari segi pemantauan yang minimum dan hanya menggunakan sumber organik sisa ikan sebagai baja kepada tumbuhan.

“Penghasilan produk i-Akuaponik adalah sebagai satu medium bagi memudahkan warga kota untuk menjalankan aktiviti penanaman dalam bandar dengan cara yang mudah dan cepat.

“Di samping itu, ia memberi peluang kepada warga kota untuk menjalankan aktiviti penanaman secara individu tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya.

Katanya, pembangunan produk ini dilakukan selama setahun mulai awal tahun lalu daripada tahap kajian sehingga penghasilan produk.
“Ia mendapat pemantauan dari tenaga pengajar iaitu Prof Dr Khairul Aidil Azlin Abd Rahman, Dr Shahrizal Dolah, Prof Dr Nazlina Shaari, Dr Raja Azmeer Effendi, Dr Ruhaizin Sulaiman, Mat Rasul Sidek dan Indastri Saion.

“Di samping itu, kerjasama dari Fakulti Pertanian UPM turut dilakukan dari segi kajian untuk pembangunan produk i-Akuaponik di bawah pemantauan Prof Dr Yahya Awang dan Prof Dr Salleh Kamarudin,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/64139#sthash.kU1IBkG6.dpufArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:02 AM


Iklan Terkini

kerepek
( / Industri Asas Tani)

kerepek
06-24-2014

Galah Komposit Karbon Fiber
( / Jentera Pertanian)

noimage
06-10-2014

perlu bekalan pisang untuk kerepek
( / Industri Asas Tani)

noimage
06-03-2014

Kategori Acara

  • General
    General

    General events

    1 Event
  • Meeting
    Meeting

    Weekly meeting events.

    0 Events