Udang harimau dan udang putih gred A bersaiz besar begitu dicari dan ramai sanggup membelinya terutama masyarakat Tionghua yang akan menyambut Tahun Baharu Cina hujung bulan ini walaupun harganya mencecah sehingga RM130 sekilogram.

Selain pasarannya luas, hasil lumayan dan habitat haiwan itu yang sesuai diternak dalam kolam, daya ketahanan yang ti­nggi serta kadar tumbesaran cepat, menjadi faktor utama udang berkenaan menjadi pilihan untuk diternak.

 

Bagi memastikan bekalan dan permintaan mencukupi, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mersing mengusahakan ternakan itu seluas 20 hektar di Kampung Tenglu Laut di sini sejak 2004.

Projek itu yang mempunyai 18 kolam berbanding hanya tujuh kolam pada peringkat awal, berjaya menghasilkan produktiviti bersekala besar dan mampu memenuhi pasaran domestik.

Pengurus Besar PPK Mersing, Omar Othman berkata, bagi men­jayakan misi tersebut seorang pengurus projek ditempatkan dengan dibantu seorang penyelia ladang serta lima pekerja am.

Beliau berkata, projek itu menerima bantuan kerajaan negeri dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebanyak RM1.68 juta merangkumi kerja awalan, pembangunan, peralatan, bio sekuriti, pembaikan, pemulihan kolam dan kerja-kerja infrastruktur.

“Pada masa ini kami hanya mampu menghasilkan kira-kira tiga tan metrik bagi setiap kolam untuk sekali tuai. Bagi memenuhi keperluan dan permintaan yang tinggi kami bercadang meningkatkan kepada enam tan metrik bagi setiap kolam.

“Daripada segi pasaran pula, kira-kira 70 peratus hasil udang kami dipasarkan terus kepada pemborong dan 30 peratus lagi ke pusat pengumpulan hasil pertanian di 28 PPK negeri ini.

“Bagi meningkatkan pengeluaran sekali gus memenuhi permintaan, kami dalam proses untuk menggunakan teknologi terkini dalam industri ternakan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

 

http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/ppk-mersing-ternak-udang-harimau-udang-putih-1.433206