Faktor umur bukan penghalang, malah Mohamad Mat Adam, 70, membuktikan dia masih memiliki kudrat mengusahakan ternakan ayam komersial menggunakan pendingin hawa sebelum beralih berjinak-jinak dengan penanaman cili menggunakan kaedah fertigasi.

 

“Kini sudah 14 tahun saya bersara dari dunia pendidikan. Kerjaya baharu saya lebih berfokus kepada pertanian. Berbudi kepada tanah dan lebih tenang mengurus kebun fertigasi, melihat kehijauan pokok serta menikmati hasil tuaiannya.

 

 

“Saya tidak bertahan lama dalam dunia ternakan kerana be­berapa kekangan termasuk ke­naikan kos pengurusan berban­ding dengan usaha menanam cili jenis kulai,” katanya ketika ditemui di kawasan kebunnya di Kampung Gong Guchil di sini.

 

Mohamad berkata, usaha menanam cili secara kecil-kecilan bermula pada tahun 2005 dan kapasitinya ditingkatkan selepas aktif bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang yang merupakan penggerak pengeluaran hasil cili kulai komersial.

 

Sehingga kini cili kulai yang diusahakan Mohamad di atas tanah seluas sehektar berjumlah 4,000 pokok dan secara purata­nya menghasilkan 150 kilogram cili untuk setiap tuaian.

 

Menurut Mohamad, jika penjagaan pokok dibuat dengan ba­ik, setiap pokok boleh dikutip hasil­nya sebanyak 70 kali.

 

“Saya tidak perlu lagi bergegas ke sekolah, sekarang fokus saya mengurus kebun yang juga sebagai sebahagian pendekatan untuk menjaga kesihatan diri pada usia yang sebegini. Syukur saya masih sihat dan ada keupayaan untuk terus berkebun,” katanya.

 

Mohamad berkata, bimbingan dan bantuan yang disalurkan oleh PPK Bukit Awang termasuk modal RM10,000 bagi memulakan projek penanaman itu beberapa tahun lalu turut menyuntik semangatnya untuk terus berdaya maju.

 

“Saya mempelajari ilmu dan menerima bimbingan yang ber­kaitan dengan pertanian daripada PPK Bukit Awang,” katanya.

Menurut Mohamad, pertanian me­rupakan aktiviti yang boleh memberi keuntungan kepada peng­usahanya yang tabah, gigih dan sentiasa bersedia mempraktikkan teknik-teknik pertanian moden.