Ekspo himpun hidangan terbaik

 

BUAT julung kalinya, Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 bakal memperkenalkan Festival Makanan Malaysia (MFF) bagi memberi peluang orang ramai menikmati sajian popular di seluruh negara.

HPPNK anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, pada 28 September hingga 1 Oktober ini.

 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, MFF 2017 menerapkan ‘Farms, foods, drinks and experience’ antara elemen penting kepada perjalanan industri makanan di negara ini.

 

Beliau berkata, ia satu ekspo hidangan dari seluruh negara dan kepelbagaian produk makanan serta untuk menghargai usaha seluruh komuniti di sebalik industri makanan di Malaysia.

“Melalui MFF ini, pengunjung berpeluang menikmati sajian makanan yang disediakan di samping dapat mendalami situasi pengeluaran, penghasilan dan persembahan makanan tempatan (Farm-to-Fork).

“Acara empat hari itu bakal menampilkan 850 gerai pameran dan jualan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran HPPNK 2017, di MAEPS, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha MOA, Datuk Dr Ismail Bakar.

Ahmad Shabery berkata, HPPNK yang bertemakan Makanan Kita Masa Depan Kita (Our Food Our Future) menyasarkan 500,000 pengunjung dan mampu menjana pendapatan hingga RM30 juta.

“Kementerian yakin sasaran pengunjung ke HPPNK 2017 dapat dicapai memandangkan sambutan ini diadakan di MAEPS Serdang dengan kemudahan dan pengisian program yang menarik minat pengunjung.

“Sambutan ini juga bakal mengiktiraf wira tani negara dan meraikan makanan terbaik negara ke satu tahap tertinggi menerusi anugerah yang dipertandingkan.

“Melalui HPPNK, kementerian bakal memberi pengiktirafan kepada pencapaian terbaik peladang, penternak dan nelayan yang menghasilkan produk serta inovasi pertanian dalam membantu menjamin sekuriti dan kedaulatan makanan negara,” katanya.

Menurutnya, kejayaan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016) memberi keyakinan untuk menjadikan HPPNK kali ini lebih besar daripada edisi sebelumnya.

“Kali ini, MOA bakal menampilkan kelainan dengan pengisian program yang dapat menarik minat orang ramai menyertai bidang pertanian.

“Ia selaras hasrat kerajaan ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50). Kami juga mensasarkan pembabitan belia dalam bidang pertanian terus dipertingkat menjelang 2050,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, beliau berharap HPPNK 2017 dan MFF 2017 dapat menyediakan pelbagai ruang untuk perniagaan, pelaburan, kerjasama di samping memberi platform yang ideal melancarkan produk.

“Ia termasuk perkhidmatan baru dan inovatif di samping membina perkongsian strategik bagi meningkatkan daya saing pasaran,” katanya.

Anda yang berminat menjadi pempamer, pengusaha dan rakan strategik dalam HPPNK boleh mendapatkan maklumat lanjut di Facebook, Twitter dan Instagram.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 6:41 AM
Mohamad Hussin
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Pelan elak bekalan putus

 

 

 

 

 

Iskandar Puteri: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam peringkat melaksanakan pelan jangka panjang mengeluarkan 50,000 lembu bagi tujuan daging korban memandangkan wujud persaingan untuk mendapatkan bekalan itu daripada sumber di negara jiran.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kemungkinan negara terputus bekalan itu dari negara pengeluar seperti Thailand dan Myanmar ada memandangkan persaingan dari China serta Vietnam yang mampu menawarkan harga tinggi.

 

“Saya melihat kemungkinan bahawa negara berdepan kesukaran mendapatkan daging korban pada masa depan atas dua sebab iaitu pertama, sekiranya kadar tukaran asing tidak baik maka harga import akan mahal dan kedua, negara jiran, Thailand ke arah penternakan lebih maju.

 

“Disebabkan itu, lembu hidup dari Myanmar dan Thailand pergi ke negara berkenaan dan tidak mahu datang (eksport) ke Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) Kali Ke-39 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Zainal Dahalan, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PPNJ, Datuk Seri Saipolbahari Suib.

Katanya, negara perlu mempunyai perancangan untuk menghasilkan bekalan lembu hidup dalam masa beberapa tahun ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 6:01 AM
Mohd Sabran Md Sani
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
HPPNK 2017 dijangka jana jualan RM30j

 

 

 

 

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 bakal berlangsung dalam tempoh 15 hari lagi.

Tujuan utama HPPNK yang disam­but sejak tahun 1975 lagi ialah sebagai platform untuk menghargai dan meraikan mereka yang terlibat dalam penyedia­an makanan di semua peringkat, daripada pengeluaran iaitu petani, penternak dan nelayan kepada yang memproses, memasak serta menghidangkan makanan.

 

Sebagaimana penganjuran-pe­nganjuran sebelum ini, HPPNK pada kali ini sudah pastinya me­nyajikan pelbagai program menarik yang akan menyuntik rasa kerugian kepada orang ramai jika tidak mengunjunginya terutama­nya hi­da­ngan 401 jenis makanan serta pelbagai acara hiburan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjelaskan, untuk penganjuran kali ini, program Malaysia Food Festival (MFF) akan diadakan sepanjang tempoh berlangsungnya HPPNK yang bermula dari 28 September ini hingga 1 Oktober depan.

“MFF merupakan salah satu langkah mempromosikan produk pelancongan khususnya agromakanan yang kita harap dapat meletakkan nama Malaysia sebagai destinasi pilihan pengunjung.

“Festival makanan itu menawarkan pengalaman mengenai makanan, masakan, teknologi makanan dan seni hidangan. Pe­ngunjung dapat mendalami aspek pengeluaran, penghasilan dan persembahan makanan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pengenalan rakan strategik serta penyerahan logo syarikat penaja HPPNK dan MFF 2017 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia di Serdang (MAEPS) de­kat sini semalam.

Selain itu, kata Ahmad Shabery, pada dua hari terakhir HPPNK, akan berlangsungnya Festival Makanan yang menawarkan empat hidangan makanan berbeza.

Katanya, dewan D MAEPS akan bertukar menjadi sebuah restoran besar pada hari itu de­ngan me­nyajikan hidangan siang dan malam meliputi ikan sungai termahal, makanan ala kampung, style seafood lambak dan dining ala barat.

“Hampir semuanya telah pun ditempah oleh pelancong asing khususnya dari Hong Kong, China dan Jepun,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery optimis HPPNK 2017 mampu mengamit kehadiran sehingga 500,000 pengunjung dalam tempoh empat hari pe­nganjurannya itu.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa MAEPS yang menjadi lokasi HPPNK bakal dipenuhi lautan manusia berdasarkan sambutan terhadap gerai jualan yang ditawarkan pada kali ini.

Katanya, kesemua 600 gerai pameran dan jualan yang ditawarkan telah pun habis ditempah.

“Berikutan itu, kami menjangkakan jumlah jualan mencecah sehingga RM30 juta dengan kehadiran pengunjung sehingga 500,000 orang,” ujar beliau.

Ahmad Shabery berkata, jumlah tajaan swasta yang menyertai HPPNK kali ini ialah sebanyak RM3.1 juta dan beliau percaya lebih ramai akan datang pada saat-saat akhir untuk menjadi sebahagian daripada penaja.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/hppnk-2017-dijangka-jana-jualan-rm30j-1.526220#ixzz4tB8O6CZ2 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

SAIPOLBAHARI (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan wang keuntungan perniagaan kepada Ibrahim bagi diagihkan kepada ahli PPK. FOTO Mohd Amin Jalil

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) komited dalam usaha mempelbagaikan aktiviti ekonomi bagi membangunkan masyarakat peladang khususnya dalam bidang industri makanan ternakan negara.

Antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah projek penanaman dan pengeluaran jagung bijian bagi membangunkan industri makanan ternakan.

Pengerusi NAFAS Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata, pihaknya mengambil inisiatif dalam memfokuskan kepada pengukuhan rantaian nilai Pertubuhan Peladang (PP).

Katanya, perancangan pembangunan NAFAS bukan saja perlu seiring dengan saranan kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan produk makanan ternakan, malah membantu membangunkan masyarakat peladang itu sendiri.

 

“Ketika ini kita banyak mengimport bahan mentah dari Brazil dan China bagi pengeluaran makanan ternakan yang sekali gus memberi kesan kepada harga ayam dan ternakan lain.

“Oleh itu, NAFAS mengambil inisiatif membabitkan diri dalam aktiviti itu menerusi kilang, Feedmills Sdn Bhd di Muar, dalam membantu kerajaan menstabilkan harga ayam khususnya, untuk kepentingan pengguna.

“Usaha ini membabitkan kerjasama antara NAFAS, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung PPN Negeri Sembilan kali ke-34 2017 di Klana Resort Seremban, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi PPN Negeri Sembilan Datuk Ibrahim Jahaya dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Sembilan Azizan Abd Hamid.

Saipolbahari berkata, dalam memastikan kejayaan projek berkenaan, ahli peladang dan PPK bertindak sebagai peserta dalam penanam jagung bijian.

“PPN pula akan menjalankan proses pengeringan jagung bijian dan akhir sekali NAFAS sebagai pengeluar dan pemasar makanan ternakan ayam.

“Kami memerlukan lebih banyak jagung bagi meningkatkan pengeluaran bijian berkenaan ketika kilang terbabit mampu mengeluarkan 1.5 tan metrik sejam,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah menetapkan sasaran untuk mengeluarkan 12.2 matrik tan sejam bijian itu menjelang awal tahun depan bagi memenuhi permintaan.

“Kami (NAFAS) perlukan lebih banyak bekalan jagung untuk memastikan kita dapat mengurangkan import bahan berkenaan.

“Kami memerlukan tanaman jagung tambahan seluas kira-kira 10,000 hektar lagi berbanding lima hektar ketika ini, untuk memastikan pusingan pengeluaran dapat menampung permintaan di pasaran,” katanya.

Saipolbahari berkata, pihaknya menggesa PPK merebut peluang berkenaan dengan melaksanakan projek tanaman jagung di kawasan milik mereka.

Menurutnya, NAFAS memberikan keutamaan kepada ahli gabungan pertubuhan itu dalam menjayakan sesuatu projek ekonomi untuk memastikan pulangannya terus kepada peladang.

“Setakat ini, banyak PPK yang sudah menyahut cabaran ini dan mula melaksanakan projek tanaman jagung, namun belum sepenuhnya.

“NAFAS akan membekalkan benih dan hasilnya PPK perlu menjual kepada pertubuhan itu,” katanya.

“Menjadi harapan kita agar impian melahirkan lebih ramai jutawan kalangan ahli peladang akan tercapai menjelang 2020,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata PPN negeri itu akan terus mengolak langkah dalam usaha meningkatkan sosio ekonomi masyarakat peladang.

“Ketika ini, PPN negeri menaungi 11 PPK, 226 unit peladang dan 44 unit koperasi dengan keahlian koperasi keseluruhan seramai 28,853 orang manakala nilai saham yang terkumpul sehingga akhir 2016 berjumlah RM983,586.

“Isi padu perniagaan yang dijalankan bagi tempoh 2016 mencecah RM10.7 juta berbanding pada 2015 sebanyak RM9.4 juta.

“Aktiviti itu membabitkan pemasaran ayam, pemasaran sawit, sewaan, kejenteraan, ternakan ayam daging, kerja kontrak, pengumpulan hasil pertanian, input pertanian dan pusat belian padi,” katanya.

Pada majlis berkenaan, NAFAS menyerahkan zakat perniagaan kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) sebanyak RM68,183, manakala sebanyak RM3,000 diagihkan kepada setiap PPK di Negeri Sembilan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 11:15 AM

Pertanian adalah bidang menarik yang mampu menjana pendapatan dan kekayaan, kata Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Tan Sri Zainal Dahalan.

Beliau berkata, pelbagai ruang dan peluang boleh diterokai dengan mewujudkan sumber kekayaan baru yang memberi manfaat besar bukan saja kepada sosioekonomi peladang, penternak dan nelayan tetapi juga menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Setiap individu mempunyai impian hidup, baik yang berusia mahupun golongan belia semuanya mengimpikan untuk melakar kejayaan terutama bagi mengubah nasib diri dan keluarga. Kejayaan bermula daripada satu langkah.

“Inisiatif sumber kekayaan baru melalui pelaksanaan program pembangunan industri tenusu, durian, jagung bijian dan industri kelapa membolehkan masyarakat peladang, penternak serta nelayan melangkah lebih jauh selain mampu mencapai apa yang diimpikan setiap hari,” katanya.

 
 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Agropreneur Muda Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lanchang dan Lawatan ke ladang Suhan Movies di Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah LPP Negeri Pahang, Datuk Sawaluddin Ahmad dan penerbit serta pelakon popular, Datuk Rosyam Nor.

Zainal berkata, kerajaan komited dalam memperuntukkan sejumlah RM200 juta pada tahun ini bagi menerokai sumber kekayaan baru.

“Bagi merancakkan lagi masyarakat peladang, penternak dan nelayan supaya melangkah lebih berani dalam sektor agromakanan, kisah hebat personaliti (Rosyam) dapat memberi inspirasi untuk golongan muda lebih berjaya dalam bidang pertanian.

“Kebanyakan peserta kursus ini adalah agropreneur muda dari Johor dan Pahang yang dikumpulkan dalam satu sesi perkongsian ilmu serta pengalaman bersama usahawan berjaya.

“Kehadiran Rosyam berkongsi pengalaman bersama-sama agropreneur muda ini memberi inspirasi kepada golongan peladang supaya melakukan dengan bersungguh-sungguh sebaik menceburi bidang pertanian,” katanya.

Menurutnya, antara tumpuan LPP masa kini adalah untuk menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian selain mengetengahkan hasil pertanian yang sudah dikenal pasti sebagai sumber kekayaan baru.

Sementara itu, Sawaluddin berkata, penubuhan LPP untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi dan sosial, menambah pengetahuan dan kemahiran.

“Ia termasuk meninggikan hasil pendapatan dan membaiki cara hidup ahli serta mewujudkan masyarakat peladang yang produktif, berdikari, makmur selain bersepadu.

“Penubuhan ini selari dengan strategi pelaksanaan kerajaan pada masa itu bagi merealisasikan pencapaian matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat melalui strategi penyediaan kemudahan termasuk modal, tanah, pelaburan dan latihan kemahiran.

“Ia bagi meningkatkan pendapatan dan produktiviti golongan miskin sama ada di bandar atau luar di bandar,” katanya.

Mohamad Hussin
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 12:18 PM

Ahmad Zaid merasmikan Karnival Jalinan Peladang Peringkat Negeri Perak Parlimen Bagan Datuk di Hutan Melintang, semalam.

 

 

Bagan Datuk: Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memberi insentif dalam bentuk kewangan kepada golongan peladang dan penternak sebagai usaha menghargai sumbangan mereka kepada negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memikirkan kaedah yang boleh digunakan dan sesuai untuk menghargai golongan berkenaan.

 

Menurutnya, jika golongan nelayan boleh mendapat insentif bulanan dan pesawah pula memperoleh insentif untuk tiga bulan ketika semaian padi, maka golongan peladang dan penternak wajar mendapat imbuhan sama. “Kita akan cuba, kita ikhtiar yang terbaik... bukan kerana duit, tetapi sebagai penghargaan kepada usaha yang kita (peladang dan penternak) lakukan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Jalinan Peladang Peringkat Negeri Perak di Parlimen Bagan Datuk di Hutan Melintang di sini, semalam.

 

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kebangsaan, Tan Sri Zainal Dahlan.

 

Shamsul Kamal Amarudin dan Zahratul Hayat Arif
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 6:27 AM
 

TELUK INTAN 1 April – Produk ha­sil industri asas tani keluaran usa­hawan tempatan telah bersedia untuk di pasarkan ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana kualiti pembungkusan dan pelabelan produk tersebut dilihat telah mencapai tahap pia­waian yang tinggi.

Malah kata Tajuddin, terdapat beberapa produk milik usahawan terlibat yang dilihat jauh lebih baik daripada yang dihasilkan di luar negara.

“Sudah banyak negara saya pergi dan saya begitu kagum kerana banyak produk kita yang dari segi kualiti pembungkusan dan pelabelannya tidak ada yang kurang daripada mereka (luar negara).

“Saya lihat usahawan tempatan kita sudah capai tahap yang sama dengan mereka dan kita sebenar­nya telah bersedia untuk menembusi pasaran luar negara yang le­bih besar pasarannya itu,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Jimat Belanja Dapur Road To MAHA 2018 di Dataran Menara condong di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Hamzah Bahari.

Pada masa sama, tambah Tajuddin, pihaknya akan membantu usahawan terlibat dari segi perancangan dan bimbingan supaya mereka lebih bersedia untuk memasarkan produk masing-masing ke pasaran global kelak.

Terdahulu, Tajuddin melepaskan 11 kumpulan perakit terdiri daripada 44 peserta yang akan menghilir Sungai Perak dari Te­luk Intan ke Bagan Datuk untuk mempromosikan Road To MAHA.

Aktiviti berakit sejauh 25 kilometer itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pe­ngairan dan Saliran serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Acara berakit ini bertujuan memeriahkan dan mempromosi Road To MAHA 2018 kepada masyarakat tempatan,” katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/produk-industri-asas-tani-sedia-ke-pasaran-global-1.639589#ixzz5CtPr255b 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
02 April 2018 3:00 AM

                                                                  

AHMAD MASLAN (tengah, baris kedua) bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 Pejabat Pertubuhan Peladang Pontian-Kluang di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Johor, kelmarin. UTUSAN/Muhammad Zikri

 

PONTIAN 10 April – Seramai 15 pegawai dan kakitangan Pertubuhan Peladang Daerah (PPD) Pontian-Kluang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 dalam satu majlis di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, dekat sini semalam.

Pegawai PPD Pontian-Kluang, Ahmad Rahim Senawi berkata, penerima anugerah tersebut terdiri daripada seorang Pengurus Kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), lapan anggota lantikan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan enam lantikan PPK.

 

Menurutnya, terdapat empat buah PPK di daerah Pontian dan dua PPK di Kluang dengan pemasaran kelapa sawit merupakan aktiviti utama mereka yang dilengkapi dengan pusat timbang sendiri.

“Pada tahun 2017 PPK menca­tat hasil sebanyak RM55 juta de­ngan keuntungan sebanyak RM1.7 juta apabila berjaya memasarkan kelapa sawit kira-kira 90,000 tan metrik,” katanya dalam majlis penyampaian APC tersebut.

Majlis tersebut disempurnakan oleh penyandang kerusi Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Yang turut hadir, Pengarah LPP negeri, Abdul Jalil Bukhairah dan Pengerusi Peladang Nita ne­geri, Zarina Mohamed Bain.

Ahmad Rahim berkata, pihaknya sedang merangka pelbagai program bagi menambah pendapatan ahli-ahli peladang yang turut disaran supaya melibatkan diri dalam aktiviti hiliran yang berdaya maju, antaranya dalam sektor pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ternakan ayam mahupun peruncitan.

Sementara itu, Ahmad Maslan dalam ucapannya berkata, pertanian merupakan salah satu sektor ekonomi terpenting kerana merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan.

Menurutnya, dalam Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, sebanyak RM6.5 bilion peruntukan diberikan bagi sektor pertanian.

“Ini menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan sektor pertanian agar kemajuan dan pembangunannya dapat memenuhi bekalan makanan untuk negara,” katanya.






Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/15-kakitangan-ppd-pontian-kluang-terima-apc-1.646360#ixzz5CtWGJ44x 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

11 April 2018 3:00 AM

SEORANG pengusaha rumpai laut Isnoman Salbiru menuai rumpai laut di Kampung Look Butun, Semporna.

Sejarah rumpai laut di negara ini bermula sejak 1978 di Pulau Karindingan di Semporna namun hanya sekitar 1989 rumpai laut spesies Kappaphycus alvarezii mula di komersialkan di Sabah selepas Filipina pada 1973 dan Indonesia pada 1986.

Kini perairan daerah Semporna, Kunak dan Lahad Datu dikenali sebagai estet rumpai laut kerana kesesuaian perairannya yang berada dalam lingkungan Segitiga Batu Karang sempadan tiga negara iaitu Filipina, Indonesia dan Brunei.

Tidak ketinggalan, Malaysia merupakan antara penyumbang kepada pengeluaran rumpai laut merah spesies Kappaphycus sp. dan Eucheuma sp. yang menghasilkan 20,000 tan metrik rumpai laut kering bernilai RM60 juta pada 2010 yang diusahakan di kawasan seluas 9,000 hektar serta memberi manfaat kepada 1,200 pengusaha di Pantai Timur Sabah.

Walau bagaimanapun, perusahaan tersebut dijalankan secara tradisional yang menyebabkan produktiviti dan kualiti yang rendah serta terlalu bergantung kepada tenaga buruh yang ramai.

Justeru Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Perikanan memperkenalkan teknologi dan kaedah terkini berkonsepkan mini estet di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dilihat mampu meningkatkan pengeluaran rumpai laut negara secara drastik.

Melalui program tersebut, pengeluaran rumpai laut akan meningkat kepada 150,000 tan metrik (berat kering) menjelang 2020.

Jika dilihat pada 2012, pengeluaran rumpai laut dunia mengalami kekurangan antara 100,000 hingga 150,000 tan metrik setahun walaupun mendapat bekalan dari Indonesia dan Filipina.

Kekurangan tersebut pastinya boleh diisi oleh pasaran Malaysia melalui sistem mini estet yang diperkenalkan yang bukan sahaja meningkatkan produktiviti malah turut meningkatkan kualiti, pengurusan bersepadu serta meningkatkan pendapatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika merasmikan Program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2018: Seaweed Splash di Semporna baru-baru ini meminta masyarakat tidak memandang kecil golongan nelayan yang bertarung nyawa di lautan demi memberi nikmat kehidupan kepada rakyat di negara ini.

Rumpai laut umpama satu keajaiban alam semula jadi kerana mengandungi pelbagai khasiat dan kandungan mineralnya yang tinggi iaitu kalsium, lignans serta berkesan membantu penurunan berat badan.

“Salah satu khasiatnya iodin yang membantu meningkatkan perjalanan kelenjar tiriod bagi membantu meningkatkan metabolisme iaitu pembakaran dalam badan.

“Inilah kelebihan laut di Semporna yang tenang serta menerima pancaran matahari yang mencukupi bagi membolehkan tanaman rumpai laut dilakukan di sini sekali gus meningkatkan profil kawasan tersebut sebagai tarikan pelancongan dan menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

Pada 2016, kira-kira 206,000 tan metrik rumpai laut (berat basah) bernilai RM44 juta dihasilkan dan perusahaan tersebut menjadi sumber pendapatan kepada hampir 1,200 pengusaha di kawasan pengkulturan rumpai laut di perairan negeri Sabah seperti di Semporna, Kunak, Tawau dan Lahad Datu.

Malah, Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan kawasan persisiran pantainya seluas 38,000 hektar (ha) keseluruhannya dan 28,000 hektar untuk tujuan menternak rumpai laut di Semporna.

“Kerana itu, saya sering ingatkan kawan-kawan di kementerian tentang ternakan rumpai laut yang memiliki nilai besar dan bagaimana untuk manfaatkannya.

“Ia boleh menjadi ‘emas’ untuk negara sebab itu kita mahu sentiasa berkempen tentang kebaikan rumpai laut sebagai produk pelancongan negara seperti bagaimana untuk memasaknya, bagaimana ia boleh dihasilkan produk hiliran dan sektor kecantikan supaya membantu meningkatkan harga rumpai laut di pasaran,” ujarnya.

Dalam usaha memastikan negara mampu memenuhi permintaan yang tinggi pada setiap tahun, kementerian meluluskan peruntukkan berjumlah RM500,000 bagi membina sebuah pusat komersial rumpai laut pada tahun ini.

Menurut Ahmad Shabery, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semporna akan bekerjasama dengan pemimpin setempat untuk memilih lokasi yang sesuai bagi memudahkan pembinaan kemudahan itu.

“Kita akan mencari apa sahaja cara untuk membantu pengusaha rumpai laut bagi kawasan Semporna meningkatkan hasil jualan kerana harganya pada ketika ini tidak menentu dan kebanyakan pengusaha bergantung kepada satu pembeli sahaja.

“Dengan adanya kemudahan tempat pengumpulan, memproses dan pakej rumpai laut itu nanti, pengusaha di daerah ini sendiri akan menentukan pembeli mereka dengan kadar harga lebih berpatutan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, di bawah Dasar Agromakanan Negara, rumpai laut telah dikenal pasti sebagai salah satu komoditi bernilai tinggi yang diberi tumpuan untuk menyumbang kepada pengeluaran ikan dan eksport negara.

Sebanyak 10 syarikat iaitu masing-masing lapan di Semporna dan dua di Kunak dilantik di bawah projek mini estet manakala enam kluster iaitu masing-masing lima di Semporna dan satu di Tawau diwujudkan bagi menggabungkan pengusaha kecil sedia ada secara berkelompok.

Program tersebut berjaya meningkatkan pendapatan pengusaha melebihi RM1,500 sebulan, melepasi tahap kemiskinan.

Seiring dengan pembangunan huluan rumpai laut, pelbagai program penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut dijalankan dengan kerjasama institut pengajian tinggi seperti

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan agensi lain seperti SIRIM Berhad (SIRIM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menghasilkan nilai tambah kepada hasil rumpai laut.

Antara penyelidikan yang dijalankan oleh MARDI membuktikan bahawa rumpai laut Semporna adalah yang terbaik kerana mengandungi kandungan gel karagenan yang paling berkualiti.

Sementara itu Jabatan Perikanan dengan kerjasama SIRIM dan Jabatan Standard Malaysia turut mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Amalan Baik Ternakan Rumpai Laut dan sehingga kini, lebih 50 ladang projek Kluster Look Buton, Semporna berjaya mendapat pensijilan MyGAP.

Program yang dijalankan itu sebagai usaha kerajaan dalam mentransformasi golongan sasar untuk lebih berdaya saing, berpengetahuan dan medium terbaik dalam menyampaikan feel good factor kepada masyarakat serta secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dan mewujudkan suasana mesra antara golongan sasar dengan kerajaan.

Kelebihan rumpai laut

Tidak dapat dinafikan lagi kelebihan tumbuhan alga lautan atau lebih dikenali sebagai rumpai laut yang terdiri dari beberapa kelompok seperti alga merah, alga hijau dan alga perang amat penting dalam industri makanan dan farmaseutikal.

Namun dalam masa sama rumpai laut yang bersifat makroskop, multisel dan makrotalik turut dilihat sebagai super food kerana kaya dengan pelbagai khasiat semula jadi seperti komposisi kimianya begitu dekat dengan plasma darah manusia, sekali gus sesuai dijadikan bahan makanan yang sangat baik dalam mengatur dan membersihkan darah.

Menurut Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi, rumpai laut mengandungi 10 kali ganda kalsium daripada susu kerana khasiat kandungan mineral yang tinggi dari laut.

“Selain itu, rumpai laut turut mempunyai kandungan lignans iaitu bahan kimia semula jadi sebagai antioksidan yang tinggi digunakan bagi membolehkan kulit seseorang sentiasa nampak muda. Kecantikan tersebut boleh dilihat pada kebanyakan orang Sabah yang memiliki kulit muda dan cantik serta mempunyai kelebihan anti kanser.

“Ia juga turut kaya dengan klorofil yang bertindak sebagai detox bagi memastikan proses penghadam secara baik yang sekali gus membantu mengurangkan berat badan kerana kandungan iodine yang tinggi boleh merangsang kelenjar tiriod untuk mengekalkan metabolisme badan,” katanya ketika Program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2018: Seaweed Splash di Semporna, Sabah.

Selain itu, tambah Munir, melalui hasil kekayaan laut itu juga membantu seseorang untuk mengalkalikan darah kerana ia boleh meneutralkan kesan-kesan asid yang lebih tinggi terkandung dalam diet harian.

“Antara kandungan nutrien di dalam makanan ini ialah natrium, kalium, protein, kalsium, ferum, zink, mangan, kuprum, iodin dan pelbagai jenis vitamin iaitu A, B1 (tiamin), B2 (riboflavin), B3 (niasin), B5 (asid pantenik), B6 (kobalamin), B8 (biotin), C, E dan asid folik,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, tumbuhan alga itu juga menawarkan perlindungan kepada tubuh badan manusia daripada pelbagai toksink dalam sekitar, termasuk logam berat, bahan cemar dan produk sampingan radiasi dengan menukarnya kepada garam yang tidak berbahaya yang dapat dinyahcerna daripada tubuh.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk M. Saedon Ab. Majid berkata, GNN merupakan program bagi meraikan dan mengiktiraf para nelayan di seluruh negara.

“Pada masa yang sama GNN juga bertujuan meningkatkan lagi profil Semporna sebagai tarikan pelancongan dan menarik lebih ramai pengunjung.

“Ini merupakan permulaan) bagi menandakan bermulanya gelombang GNN di seluruh negara pada tahun ini,” katanya.

Sistem mini estet tambah pendapatan

Menyedari potensi rumpai laut untuk dikomersialkan sama ada untuk pasaran tempatan atau luar negara, kerajaan memperkenalkan sistem mini estet untuk memanfaatkan sumber rumpai laut yang terdapat di perairan Semporna, Sabah.

Mini estet itu merupakan projek transformasi kerajaan di bawah Program projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam mencari sumber-sumber yang boleh dikomersialkan dan menambah pendapatan rakyat serta negara.

Mini estet merupakan satu model yang mengambil kira semua faktor di peringkat huluan antaranya transformasi pengurusan menyeluruh, berasaskan sains dan teknologi serta mekanisasi, mengurangkan kebergantungan tenaga buruh dengan 80 peratus pekerja di pelantar dan 20 peratus di laut, pengurusan kawasan yang lebih cekap, mesra alam dan lestari. Dalam masa sama ia mampu mengangkat rumpai laut sebagai satu komoditi baharu dengan pendekatan komersial berasaskan komuniti dan menghasilkan rumpai laut bermutu.

Menurut Pengerusi Kluster di perkampungan itu, Manan Indanan, Jabatan Perikanan Malaysia mewujudkan sistem kluster pada 2015 bagi membantu nelayan memperoleh hasil rumpai laut yang lebih banyak serta berkualiti.

Malah melalui program tersebut amat baik bagi mengelak daripada sebarang bahaya seperti ombak deras dan panas terik matahari apabila sistem pengurusan membolehkan 80 peratus bekerja di pelantar selain sistem pengurusan itu lebih mesra dengan berkonsepkan penjimatan dari segi masa, ruang dan memperkenalkan pelampung berwarna jingga.

Katanya, di perkampungan Look Butun sahaja terdapat 70 peserta yang diberi bantuan percuma seperti tali, pelampung, benih, dua bot kecil dan dua bot besar bagi membolehkan operasi menghasilkan rumpai laut dapat dijalankan dengan baik.

“Setiap isi rumah akan menerima kawasan sebesar lima ekar untuk menanam rumpai laut. Kawasan seluas itu membolehkan nelayan mendapat hasil sebanyak 10 tan sekali tuai untuk rumpai laut basah.

“Kira-kira 70 peratus daripada jumlah itu akan susut selepas dijemur untuk mendapatkan rumpai laut kering,” katanya.

Tambah Manan, peserta kluster turut diberi bimbingan menerusi seminar, kursus cara penanaman yang baik dan terkini, cara menjual hasil tanaman serta proses rumpai laut untuk dijadikan produk hiliran.

“Saya berharap selepas ini, nelayan di sini bukan sahaja menternak rumpai laut sebaliknya diberi kelebihan untuk menghasilkan produk sendiri dan dapat dijual di pasaran.

“Menerusi cara ini, pendapatan nelayan akan meningkat selain membantu kerajaan dalam mengkomersialkan produk rumpai laut,” ujarnya.

Sejak diperkenal sistem mini estet dan kluster, nelayan di Look Butun mampu tersenyum apabila pendapatan mereka meningkat apabila rumpai laut yang dihasilkan lebih baik berbanding kaedah tradisional sebelum ini.

Seorang pengusaha rumpai laut, Karimah Barak, 44 memberitahu pendapatannya meningkat daripada RM600 kepada RM1,500 sebulan selepas menyertai kluster dalam menjalankan teknik ternakan rumpai laut seperti yang disyorkan kerajaan.

“Tidak sukar menternak rumpai laut kerana boleh dituai dalam masa 45 hari.

“Keadaan laut yang tenang tanpa gelora besar serta pencahayaan matahari yang baik membantu rumpai laut tumbuh secara sihat,” ujarnya.

Dia yang mula berjinak-jinak dalam penternakan rumpai laut sejak 2011, memperoleh hasil yang lebih baik selepas menternak secara mini estet.

“Bayangkan berapa banyak hasil boleh diperoleh dengan sebanyak 20 tali dan setiap tali panjangnya 100 meter.

“Saya bersyukur kerana kerajaan tidak putus-putus menghulurkan bantuan kepada kami untuk meningkatkan pengeluaran rumpai laut ,” katanya.

Dia yang memilih untuk mengusahakan rumpai laut apabila menyedari tiada kos modal diperlukan kerana benih diambil daripada rumpai laut yang ditanam di perairan laut. Sementara itu, seorang lagi pengusaha rumpai laut, Isnoman Salbiru, 44 berharap kerajaan membantu nelayan untuk mengatasi ‘musim rosak’ rumpai laut pada setiap Julai.

Pada ketika itu, rumpai laut akan diserang ais-ais yang menyebabkan hasil rumpai laut berkurangan.

“Saya berharap ada alternatif lain bagi penternak memastikan rumpai laut yang ditanam tidak diserang ais-ais.

“Saya juga berharap kerajaan menambah bilangan bot kerana jumlah yang ada sekarang perlu digunakan secara bergilir-gilir. Dia yang memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan hasil menternak rumpai laut berterima kasih kepada kerajaan yang memperkenalkan sistem mini estet yang dilihat lebih bersepadu dan memberi manfaat yang berpanjangan.





Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/sains/rumpai-laut-lubuk-emas-1.647319#ixzz5Cth0S1lI 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

 

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) yang bakal diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, pada 22 November hingga 2 Disember depan adalah platform untuk memperkasakan usahawan wanita selain menonjolkan golongan berkenaan dalam industri agromakanan negara.

Acara dua tahun sekali anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mengekalkan tema 'Makanan Kita, Masa Depan Kita.'

Bagaimanapun kali ini, ia akan menampilkan pembaharuan dengan konsep wanita dan membawa slogan 'Segalanya Wanita.'

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bagi merealisasikan konsep ini, MAHA 2018 menyasarkan pembabitan 50 peratus golongan wanita dan akan turut menonjolkan beberapa orang ikon usahawan wanita sebagai inspirasi.

 
 

"Selain itu, Dewan A MAEPS Serdang yang berkeluasan 40,000 kaki persegi turut direncanakan untuk aktiviti, pameran dan jualan produk yang berkaitan dengan segenap dimensi kehidupan wanita.

"MOA menetapkan sasaran jualan sebanyak RM500 juta dan lebih daripada 3.5 juta pengunjung akan mengunjungi MAHA 2018 selain 30 peratus pembabitan golongan belia.

"Acara ini akan memaparkan pengisian dalam pelbagai aspek agromakanan termasuk tanaman, ternakan, perikanan, teknologi, pelancongan agro, perdagangan, kulinari dan pembiayaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pra pelancaran MAHA 2018 di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Nogeh Anak Gumbek.

 

Ahmad Shabery berkata, antara tarikan MAHA adalah jualan bahan pertanian dan makanan seperti juadah popular dari seluruh negeri, produk industri asas tani (IAT), buah-buahan, sayuran segar, anak pokok, bunga-bungaan serta ikan dan makanan laut segar.

"Sebanyak 13 pavilion negeri akan dibuka di mana ia akan menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan juadah makanan negeri yang boleh dinikmati pengunjung.

"Seperti MAHA yang lalu, semua laman seperti laman perikanan, laman nanas, laman ternakan dan sebagainya akan turut membuat penampilan semula bagi pengunjung menikmati sendiri pengalaman pertanian secara "hands-on".

"Tempahan untuk gerai jualan telah dibuka dan hingga kini, 30 peratus daripada 1,500 gerai jualan yang ditawarkan dilanggani," katanya.

Menurutnya, MAHA 2018 berjaya mendapat sokongan 11 penaja dan rakan strategik antaranya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Agrobank dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

"MAHA 2016 lalu, ia menempa kejayaan yang membanggakan dengan jumlah pengunjung melebihi 3.7 juta orang serta perjanjian jualan melebihi RM400 juta," katanya.

 
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 11:04 AM
Mohamad Hussin
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Page 4 of 4
Load More

Kategori Acara

  • Acara Umum
    Acara Umum

    Acara Umum

    2 Events
  • Aktiviti
    Aktiviti

    Aktiviti

    0 Events

Iklan Terkini

Benih Durian Duri Hitam 4kaki
( / Buah-Buahan)

Benih Durian Duri Hitam 4kaki
04-23-2018

Tongkat Ali Jaga
( / Industri Asas Tani)

Tongkat Ali Jaga
04-23-2018

Kopi Susu Kambing
( / Industri Asas Tani)

Kopi Susu Kambing
04-23-2018